Monday, May 9, 2011

Temu duga pengambilan guru dihadiri lebih 5000 calon


SANDAKAN - Lebih 5,520 orang telah menghadiri temu duga terbuka bagi proses pengambilan guru bahagian pedalaman di tujuh pusat di seluruh negeri Sabah yang dijalankan selama dua hari bermula semalam.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementeriannya amat komited untuk memenuhi kuota masing-masing iaitu sebanyak 30 peratus guru bagi Sabah dan Sarawak, bakinya 40 peratus lagi bagi Semenanjung Malaysia.

"Pendekatan kementerian ialah bagi memastikan penempatan guru-guru di kawasan pedalaman mesti dipilih daripada kalangan penduduk tempatan," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gum-Gum di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum, Datuk Zakaria Edris dan pegawai kanan kementerian berkenaan.

Tambah Mohd. Puad, jumlah kehadiran itu amat memberangsangkan, malah terdapat juga pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut memohon.
Katanya, dalam temu duga itu, kementerian telah melonggarkan sedikit syarat minimum iaitu mana-mana calon yang hanya mendapat keputusan enam lulus dengan kepujian boleh diterima dengan syarat mereka lulus Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

"Apa yang penting mereka merupakan anak tempatan dan berasal daripada keluarga miskin. Melalui proses ini, calon tidak lagi perlu membuat permohonan melalui Internet memandangkan kawasan pedalaman tidak mempunyai akses kepada kemudahan itu.

"Dengan adanya temu duga terbuka ini, calon-calon berkenaan hanya perlu membawa sijil mereka untuk hadir temuduga," katanya.

Mohd. Puad menyaksikan sendiri proses temu duga di SMK Telupid yang dihadiri oleh 850 calon. Antara pusat lain ialah di SMK Kudat 2, Semporna, Pulau Banggi dan Nabawan.

Sumber : Utusan Malaysia ( 09 Mei 2011 )

1 comments:

the1 said...

Guru-guru, teruskan berkhidmat dengan penuh rasa tanggungjawab. Jangan abaikan pembelajaran para pelajar..Bantu mereka sebaik-baiknya. Semoga hidup anda diberkati dunia dan akhirat...

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger