Sunday, May 29, 2011

Kelayakan menyambung pengajian ke universiti luar negara

 9A+ sudah cukup – Nazri

PADANG RENGAS 22 Mei – Kejayaan memperoleh keputusan 12A+ atau 13A+ bukan jaminan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipilih menyambung pengajian ke universiti di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz (gambar) berkata, beliau percaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah membuat penilaian terbaik dalam memilih pelajar yang layak dan pemilihan juga dibuat hanya berdasarkan keputusan 9A+.

Katanya, syarat itu ditetapkan kerana ada sekolah yang tidak membenarkan pelajarnya mengambil lebih daripada sembilan mata pelajaran.

‘‘Ada ibu bapa yang datang berjumpa saya dan menyatakan anak mereka patut dipilih melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana mendapat kelulusan SPM 12A+ atau 13A+.

‘‘Tetapi saya menegaskan, walaupun pemilihan berdasarkan 9A+ sahaja, ini tidak bermakna pelajar yang mendapat 10A+ akan mendapat kelebihan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan netbook kepada 2,490 pelajar enam buah sekolah menengah di kawasan Parlimen Padang Rengas yang bernilai RM1

juta, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu mengulas dakwaan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong kononnya JPA tidak mematuhi kriteria pemilihan pelajar ke luar negara kerana ada pelajar yang mendapat keputusan lebih baik daripada 9A+ tidak terpilih.

Menurut Mohammed Nazri, JPA cuma menawarkan sebanyak 300 tempat kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mereka yang tidak terpilih mempunyai peluang di tempat lain.

‘‘Bagaimanapun, JPA akan melihat semula jika ada berlaku kesilapan seperti yang dipertikaikan oleh Ka Siong.

‘‘Beliau sebagai Timbalan Menteri Pelajaran tidak sewajarnya membuat kenyataan akhbar menuduh JPA tidak adil dalam pemilihan pelajar ke luar negara. Ka Siong sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada JPA terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan para pelajar yang menerima

netbook agar menggunakan kemudahan tersebut untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang pelajaran, bukan menyalahgunakan untuk menonton gambar atau filem lucah.

Semua pelajar berkenaan turut menerima modem jalur lebar dengan bayaran percuma sebulan dan bayaran RM25 sebulan berikutnya ditanggung oleh pelajar sendiri.

Sumber : Utusan.com.my ( 23/05/2011 )

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger